Thursday, December 3, 2009

Kenyataan Pengarah JPP 2009

Assalamualaikum wbt.

Menemui seluruh ahli Perubatan Cawangan Mansurah yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah sama-sama kita tingkatkan kesyukuran kita ke hadrat Ilahi, dengan pensyariatan Aidil Adha yang penuh dengan pengajaran dan iktibar dari kita semua. Semoga kita sama-sama dapat menghayatinya dengan sebaik mungkin.

Peralihan tampuk kepimpinan dan kuasa adalah suatu lumrah dalam mana-mana persatuan mahupun organisasi. Yang datang akan pergi, yang hilang akan berganti. Ia adalah suatu proses yang penting dalam memajukan persatuan dan mempereratkan lagi kesatuan dikalangan ahli dan pendokong. Pada tahun ini selaras dengan ketetapan perlembagaan, Jawatankuasa Khas Untuk Pemilihan Jawatankuasa Baru Perubatan (JPP) sekali lagi ditubuhkan untuk mengendalikan peralihan tampuk kepimpinan Perubatan di Kaherah mahupun cawangan-cawangan adalah dapat berjalan dengan telus dan amanah.

Sebagai maklumbalas kepada Petisyen Pencalonan Semula yang telah dikemukakan oleh ahli Perubatan Cawangan Mansurah, kami telah meneliti dan mendapatkan maklumat berkenaan dengan perjalanan pencalonan tersebut dari JPC Mansurah sendiri. Kami juga telah melawat blog yang memaparkan petisyen tersebut dan cuba untuk memahami dan menghayati tujuan dan matlamat petisyen tersebut dibuat. Secara dasarnya berdasarkan hujah dan respon yang diberi, pencalonan semula untuk pemilihan perubatan cawangan mansurah tidak dapat diadakan. Proses pencalonan atau pengundian semula tidak pernah berlaku dalam sejarah gerak kerja JPP dan JPC Perubatan.

Pada 6 November yang lalu JPP Kaherah bersama JPC cawangan telah bermesyuarat di Tanta untuk menyelaraskan gerak kerja kami pada tahun ini. Setelah semua perkara dasar dan prosedur disepakati maka kami memulakan gerak kerja masing-masing. Tempoh masa yang panjang sehinggalah ke hari pencalonan Mansurah pada 24 November adalah supaya maklumat dan info berkenaan dengan pemilihan tahun ini dapat sampai ke pengetahuan para ahli dengan sebaik mungkin. Pihak JPC telah menyatakan bahawa iklan berkenaan dengan hari pencalonan tersebut telah disiarkan dan diedar sekurangnya 10 hari sebelum hari tersebut. Iklan telah diedarkan dengan pelbagai medium dan cara, samada bercetak mahupun multimedia dan internet. Tempoh 10 hari tersebut juga adalah cukup panjang untuk maklumat tersebut sampai kepada semua ahli dan untuk para ahli mengemukakan apa-apa pertanyaan ataupun menyatakan respon berkenaan hari pencalonan tersebut.

Hujah petisyen bahawa terdapat ahli yang tidak sampai maklumat dan iklan adalah tidak munasabah. Di era internet sekarang blog JPC Mansurah boleh dilawati dengan mudah dan segala info boleh didapati di dalamnya. Para ahli juga pergi ke kuliah setiap hari, maka sepanjang tempoh 10 hari tersebut tentunya akan terdengar dan mendapat info secara tidak langsung dari sahabat handai. Para ahli tentunya boleh mengemukakan aduan terus kepada pihak JPC Mansurah jika menghadapi kesukaran untuk melibatkan diri. Pihak JPP secara dasarnya memang meraikan sebarang kesungguhan dan komitmen para ahli untuk terlibat dalam pemilihan pada tahun ini. Waktu pencalonan dengan mudah boleh dilanjutkan jika ahli terbabit menyatakan kesukaran dan kesulitan mereka agar dapat ditangani oleh JPC Mansurah.

Kami menghargai pihak yang telah membuat petisyen tersebut. Semoga ia dapat membawa kebaikan kepada Perubatan dan semua ahli. Sebagai ahli yang komited dan proaktif dengan Perubatan, mereka hendaklah memaklumkan dan memberi respon segera jika apa jua program atau acara yang dianjurkan oleh Perubatan sukar untuk mereka hadiri dan sertai. Perubatan khususnya JPP dan JPC amatlah menitik beratkan kebersamaan ahli di dalam program yang dianjurkan. Kami sentiasa cuba untuk fleksibel dengan situasi dan kemaslahatan yang dihadapi oleh para ahli. Sebarang perubahan yang boleh memudahkan para ahli tentunya akan dititikberatkan. Namun adalah penting bagi kami agar para ahli mengambil sikap proaktif dan sentiasa cakna dengan perjalanan persatuan pada setiap ketika.

Akhir kata, marilah sama-sama kita memuhasabahkan diri. Pihak JPP dan JPC sentiasa mengalu-alukan maklumbalas dan respon dari ahli Perubatan sekalian. Kesatuan dan kebersamaan kita semua di bawah payung Perubatan memang menjadi matlamat kami. Maka kami membuat keputusan akhir bahawa tidak perlu dilakukan pencalonan semula untuk pemilihan jawatankuasa Perubatan Cawangan Mansurah. Semoga kita semua dapat menerimanya dengan tenang dan rasional.

Muhammad Zul Hazmi bin Ahmad Zawawi

Pengarah JPP 2009

STATISTIK DATA PETISYEN PENCALONAN SEMULA

JUMLAH TANDATANGAN

BERDAFTAR DAN BERBAYAR

BERDAFTAR TANPA BAYAR YURAN

TIDAK BERDAFTAR

253

162

24

67

KEPUTUSAN : PETISYEN DITERIMA OLEH PIHAK JPC TETAPI TIDAK DILULUSKAN. SEGALA CADANGAN AKAN DIPERHALUSI UNTUK SESI HADAPAN.

No comments:

Post a Comment